Penulis : Prof Dr. Yusof al-Qardhawi
Sebuah
buku kecil yang padat dengan pendapat dan pandangan konkrit dari
seorang ilmuan terkemuka abad ini. Meneliti hujah-hujah dan kritikan
pedas Dr Yusuf al-Qardhawi seharusnya menyedarkan kita umat Islam yang
terlena berabad lamanya kerana sebagai umat terbaik yang dilahirkan
untuk seluruh manusia ini tidak sepatutnya kita menjadi beban kepada
orang lain bagi memenuhi keperluan hidup kita baik di bidang ekonomi,
ketenteraan dan lain-lain. Kita adalah umat yang banyak bercakap tetapi
sedikit bekerja, jadi tidak hairanlah kita umat Islam yang berjumlah 1.6
billion bertekuk lutut di bawah si Yahudi yang hanya berjumlah tiga
juta!
BAHAGIAN 1: UMAT ISLAM YANG LUPA DIRI
Apabila
kita meneropong umat kita dengan menggunakan teropong Allah s.w.t. yang
terdapat dalam al-Quranul Karim, maka kita akan menemukan umat itu
sebagai umat lain, bukan sebagai umat al-Quran yang dilukiskan oleh
Allah s.w.t. sebagai umat terbaik, yang dijelaskan alasan terbaiknya
kerana mereka menyeru orang berbuat makruf dan mencegah orang berlaku
mungkar, serta beriman kepada Allah s.w.t.
Ia melihat makruf
sebagai sesuatu yang mungkar dan melihat yang mungkar sesuatu yang
makruf. Malah lebih dari itu, ia menyuruh orang berbuat mungkar dan
mencegah mereka berbuat makruf, sehingga dilanda fitnah yang tidak
ditemukan hujung pangkalnya, yang membuat intelektual muslim menjadi
bingung.
Secara ringkas dapat dikatakan bahawa umat kita telah
melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada dirinya sendiri dan Maha
Besar Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada diri mereka sendiri” (al-Hasyr: ayat 19)
UMAT KITA DILIHAT DARI KEMAJUAN MATERIAL
Umat
Islam selalu saja menjadi beban bagi umat-umat yang lain dalam memenuhi
keperluan hidupnya, baik di bidang ekonomi, ketenteraan atau
bidang-bidang lainnya. Ia belum pandai memproduksi keperluannya sendiri
atau untuk memproduksi keperluan senjatanya untuk melindungi kedaulatan
dirinya sendiri.
KEKUATAN AKAL KITA DI SIA-SIAKAN
Kekuatan
akal kita sia-siakan, kerana kita bagaikan burung tiung hanya suka
meniru. Kita tidak mahu berijtihad, tidak suka mencipta sendiri, tidak
kreatif, senang menghafal daripada berfikir dan lebih senang mengutip
fikiran orang lain, baik fikiran pendahulu kita ataupun masyarakat lain,
kerana kita menganggap tidak perlu bersusah payah berfikir sendiri
Suatu ketika dahulu Moshe Dayan (bekas Menteri Luar Israel), menyatakan
secara terbuka cita-cita dan keinginan negaranya. Dia mendapat serangan
dan kecaman dari bangsanya, kerana mereka khuatir pernyataanya itu
dibaca oleh bangsa Arab (umat Islam) dan rencana jahatnya diketahui.
Namun dengan tenang ia menjawab serangan kaumnya, katanya: “Tenanglah,
pecayalah padaku, bangsa Arab (dan juga Melayu –Pent) tidak akan
membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca”.
Inilah
kenyataan pahit yang dimiliki suatu umat yang ayat pertama dalam kitab
yang diturunkan kepadanya memerintahkan; “Iqra” (bacalah). Ternyata
mereka malas dan tidak suka membaca. Kalaupun membaca, mereka tidak
pandai memahami, kalaupun memahami, mereka tidak bersungguh-sungguh
dalam melaksanakannya.
KEKUATAN AMAL KITA DI SIA-SIAKAN
Amat
menyedihkan, umat kita merupakan umat yang paling sedikit dalam
berbakti dan amal perbuatannya, tetapi yang paling banyak bercakap dan
berdebat. Kita banyak bicara dan sedikit kerja. Andaikata bekerja, kita
hanya mengerjakan sesuatu yang kurang penting dan meninggalkan yang
penting, malah kadang-kadang kita mengerjakan yang tidak bermanfaat
sedikitpun.
Saya banyak mengikuti seminar Islam dan banyak
keputusan yang sudah disepakati untuk dilaksanakan, tetapi sedikit
sekali yang dilaksanakan dan sebahagian besar hanya di atas kertas.
KEKUATAN EKONOMI KITA DI SIA-SIAKAN
Kekuatan
ekonomi kita disia-siakan, padahal kita hidup di bumi terbaik, yang
paling baik daerahnya, paling subur tanahnya, paling kaya bahan
galiannya, tetapi kita tidak memanfaatkan kekayaan itu.
KEKUATAN TENAGA KITA SIA-SIAKAN
Kekuatan
tenaga manusia kita sia-siakan, meskipun kita selalu membangga diri
dengan jumlah yang sangat ramai, tetapi apalah ertinya jika membuat hal
masing-masing tanpa mempedulikan orang lain.
Seharusnya kita
mengambil manfaat dari kekuatan tenaga manusia (manpower) kita, seperti
yang dajarkan Jamaluddin al-Afghani kepada bangsa India dahulu. Katanya:
“Jika kekuatan jutaan kamu itu berupa lalat yang meraung-raung di
telinga Inggeris, tentu kamu akan berhasil memecahkan telinga mereka”.
KEKUATAN JIWA KITA SIA-SIAKAN
Kurikulum
pelajaran kita tidak mampu menterjemahkan erti dan sifat “Rabbaniyah”
ke dalam jiwa kita. Tepat sekali apa yang dikatakan penyair dan pemikir
Islam, Muhammad Iqbal, ketika mengatakan tentang “sekolah-sekolah
moden”, bahawa ia boleh membuka mata generasi muda untuk mempelajari
berbagai hakikat dan pengetahuan, namun ia tidak mengajari matanya
bagaimana menangis dan tidak mengajari hatinya supaya khusyuk.
Musibah
paling tragis yang menimpa umat kita dewasa ini ialah menjadikan agama
sebagai permainan dan senda gurau dan menjadikan permainan dan senda
gurau sebagai agama!
Bagaimana tidak,
kita telah tergila-gila menghiasi tembok masjid dengan ayat-ayat
al-Quran, tetapi tidak menghias kehidupan kita dengan al-Quran. Kita
membacakan al-Quran untuk orang-orang mati, tetapi tidak mengajarkannya
kepada orang-orang hidup! Kita berusaha memiliki al-Quran, membawanya
berkah, padahal berkah yang hakiki terletak dalam mengikuti perintah-Nya
dan menjauhi larangan Nya.
Saya selalu
mengatakan dan akan selalu mengatakan, bahawa kunci keperibadian umat
ini dan kebanggaan kekuatannya terletak pada keimanan kepada Islam, yang
telah menjadikannya sejak dahulu sebagai umat terbaik yang dikirimkan
untuk seluruh manusia dan telah memberikan kemenangan atas golongan
kuasa besar, meskipun kekuatan tenaga manusianya sedikit dan kelengkapan
senjatanya sangat minima.
Kita memiliki
aqidah terbesar, risalah paling lengkap, kita memiliki kitab Ilahi
satu-satunya yang terjaga dari kerosakan dan pemindaan oleh
tangan-tangan jahat, namun kita dilanda lupa diri, tidak menyedari
sumber tenaga dan kekuatan yang ada pada diri kita sendiri.
Rahsianya
terletak pada penyakit yang merosak batin kita, berupa rasa cinta dan
keinginan pada hal-hal yang gemerlapan, lebih senang hidup
bermegah-megah yang dinamakan oleh hadith itu sebagai “wahan” dan
ditafsirkan sebagai “Cinta dunia dan takut mati!”
Maka
tidak menghairankan, kalau umat yang terbilang seribu juta itu, terdiri
dari umat yang bertutut di bawah si Yahudi yang hanya berjumlah tiga
juta!.
TANGGUNGJAWAB PARA PENGUASA
Memang pertanggungjawaban terbesar atas kesalahan-kesalahan yang telah menjerumuskan kita, terletak di bahu para penguasa kita.
Tetapi
yang jelas juga bahawa para penguasa itu pada umumnya sama saja dengan
rakyatnya, kerana mereka merupakan lambang keadaan masyarakatnya.
TANGGUNGJAWAB PARA ULAMA
Memang
ramai ulama’ yang tidak menunaikan tugasnya dengan baik dalam
menyampaikan agama Allah dan ada pula di antara mereka yang membonceng
kenderaan pemerintah dan menjadikan ilmu ( agama ) sebagai hamba politik
dan menjadikan dirinya seperti mesin pengeluar ‘fatwa’ , sesuai pesanan
orang atasannya.
Sebenarnya ulama’
dewasa ini bukan lagi sebagai pemain tunggal seperti halnya pada zaman
dahulu. Kerana pemilik media cetak, elektronik dan pusat-pusat
penerangan nampaknya lebih kuat pengaruhnya dalam masyarakat, daripada
ulama’ yang berpidato dari atas mimbar. Meskipun mereka masih memiliki
pengaruh kuat yang tidak dimiliki oleh yang lain.
Salah
seorang bertanya pada seorang penguasa tentang kekuatan al-Imam
al-Hasan al-Bashri dan ketegasannya yang tidak tergoyah. Maka Gabenor
negeri itu menjawab secara terus terang: “Kami perlukan agamanya, tetapi
dia tidak perlukan dunia kami”.
TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT
Saya
masih ingat, pada suatu hari seorang pendengar menegur gurunya selesai
memberikan ceramahnya, katanya: “Saya telah mendengar dan mengikuti
ceramah yang bapa berikan selama tiga puluh tahun, lalu apa yang telah
bapa lakukan?”
Jawapan guru itu membuat
muridnya terdiam, katanya, “Kalau telah tiga puluh tahun mendengarkan
ceramahku, lalu sudah sejauh mana kamu melakukannya?”
BAHAGIAN 2: PERGERAKAN ISLAM
Pergerakan
Islam ialah semua jemaah kerja yang berusaha untuk memperbaharui agama,
dalam erti hendak melaksanakan hukum syariat dan menghidupkannya dalam
peribadi umat, untuk mengembalikan kejayaannya yang gemilang dalam
memimpin masyarakat dan melaksanakannya dalam berbagai lapangan hidup,
baik di segi aqidah, ibadah, akhlak, muamalat ( jual-beli), dalam
fikiran, perasaan, undang-undang, pengarahan masyarakat, dalam bidang
eksekutif dan yudikatif.
Tetapi nampaknya,
pergerakan Islam ini tidak berhasil merealisasikan apa yang
dicita-citakan , sebagaiamana harapan umat dan sebagaimana yang selalu
dilanung-laungkan oleh para pimpinannya.
TIADA PENGHISABAN DIRI
Keluhan
pertama yang sangat dirasakan oleh para pakar dalam pergerakan Islam,
bahawa usaha menghisab diri adalah sangat lemah, atau boleh dikatakan
pada umumnya tidak ada.
Ulama’ zaman dahulu berkata: “Orang mukmin
sangat keras memperhitungkan dirinya, lebih dari seorang penguasa yang
diktator dan dari seorang sekutu yang kikir.”
PERPECAHAN DAN PERSELISIHAN
Salah
satu penyakit pergerakan Islam moden adalah adanya perpecahan parah
yang kita saksikan antara bahagian-bahagiannya yang beragam.
Masing-masing merasa kebenaran itu hanya ada dalam jamaahnya saja,
sedang di luar jamaahnya hanyalah kesesatan. Yang dapat masuk syurga dan
selamat dari api neraka hanya dimonopoli oleh anggota jamaahnya, hanya
dia saja yang merupakan “kelompok yang selamat”, selain dari itu
termasuk kelompok yang sesat.
Alangkah
baiknya jika masing-masing bebaik sangka terhadap yang lain, saling
bertimbang rasa (toleransi) meskipun dalam keadaan yang berbeza, saling
tolong menolong dan tegur menegur dalam berbuat makruf dan berdiri dalam
satu barisan menghadapi masalah-masalah yang besar, iaitu kewujudan
Islam dan penentuan hari depannya dan bersatu padu dalam menghadapi
serangan musuh, baik dalam bentuk Yahudisme, Salibisme, mahupun berupa
Komunisme, Kapitalisme dan Sekukarisme.
Pergerakan
Islam tidak boleh mengabaikan individu-individu yang kuat bekerja di
lapangan dakwah, meskipun mereka bekerja secara sendirian, hanya
mempunyai pengaruh dalam lingkungannya dan pada murid-muridnya dan
mereka masing-masing mempunyai sekolah dan pengikut. Sudah tentu ramai
di antara mereka yang jujur dan ikhlas, yang mampu menggerakkan pendapat
umum dan mengarahkannya, jika mereka mahu dan di dukung oleh pengarahan
yang tepat.
KURANGNYA PENYELIDIKAN DAN PROGRAM
Kita
harus sentiasa mengadakan penyelidikan tentang perkembangan keadaan
umat Islam, keadaan pergerakan Islam dan keadaan serta kekuatan pihak
yang memusuhi Islam. Semua keterangan dan maklumat itu, dianalisa secara
ilmiah dan bertanggungjawab, sehingga diperoleh hasil yang diperlukan
untuk digunakan sebagai acuan dalam melaksanakan langkah selanjutnya.
Adapun
yang paling utama untuk diprogram dan direncanakan ialah memupuk bakat
para anggotanya sejak awal lagi, membimbing dan meningkatkannya dalam
berbagai bidang kehidupan seperti dalam sudut ilmu, syariat, politik,
ekonomi, sosial, pendidikan, penerangan, pemerintahan, statistik dan
sebagainya untuk mengisi kekosongan dan memenuhi keperluan masyarakat.
Dan perlu juga mengetahui dan mempelajari apa yang sedang dikejar oleh
masyarakat beradab dan moden, seperti dalam dunia komputer dan senjata
nuklear, alam luar angkasa dan teknologi canggih lainnya.
Sekarang
ini terjadi hal sebaliknya, mereka (golongan di luar Islam) sibuk dalam
dunia yang setiap hari menambah hal-hal yang baru seolah-olah suatu
lompatan dalam ilmu dan teknologi. Sementara kaum muslimin masih
bertikai sama sendiri dan hidup dalam alam mimpi dan senda gurau, sedang
umat lain bekerja keras. Kaum muslimin lebih banyak berbicara yang
tidak mempunyai manfaat sedikitpun bagi dirinya dan umatnya.
Kita
bekerja tanpa rencana dan program, sedang lawan-lawan kita tidak
demikian, akhirnya hasil perjuangan kita jatuh ke tangan mereka, dalam
keadaan kita tidak menyedarinya.
TERBURU BURU
Kita
menanam pada pagi hari dan ingin memetik hasil pada petang harinya. Ini
bertentangan dengan hukum Allah dalam alam yang sudah diterima oleh
seluruh umat manusia. Segala sesuatu yang ada berjalan sesuai dengan
ketentuan yang telah digariskan dan diproses menurut lazimnya.
BERLEBIH-LEBIHAN
Beberapa
penyakit yang sering menjangkiti umat kita ialah suka bertindak
berlebih-lebihan dan di luar hukum. Suatu perkara yang disesalkan dari
kita iaitu, ketika menghadapi berbagai masalah, kita lebih suka berdiri
pada salah satu hujung dari kedua kutub, iaitu paling kanan atau paling
kiri. Jarang kita berdiri dan bersikap “tengah-tengah”, yang Allah puji
untuk dijadikan tempat berpihak dan bersikap umat ini, seperti dalam
firman Nya.
Terjemahannya:
“Begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan” (al-Baqarah ayat 143 )
Penyakit
ini telah menulari pergerakan Islam, sehingga sikap berlebih-lebihan
memuji diri sendiri, berlebih-lebihan dalam mengecam lawan-lawannya dan
berlebih-lebihan dalam berbagai kegiatan lainnya.
Para
pemerhatit melihat pergerakan Islam moden dewasa ini sangat
berlebih-lebihan menilai besar kekuatannya, berlebih-lebihan menilai
kelemahan lawannya, terlalu meremehkan berbagai rintangan yang dihadapi
dalam perjalananan, terlalu tinggi memuji diri, terlalu rendah menilai
lawan, berlebih-lebihan kalau sedang cinta dan begitu pula kalau sedang
benci.
TAKUT DENGAN PEMBAHARUAN
Inilah
satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak
senang pada pembaharuan, tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak
menyenangi perkembangan dan perubahan.
MARI BERCITA-CITA DAN BEKERJA
Sebenarnya
di sana ada harapan yang menggembirakan, menyonsong datangnya hari
depan yang lebih baik dan menyedari sudut-sudut kekurangan merupakan
langkah pertama dalam mewujudkan kesempurnaan.
SEBAHAGIAN KEJAYAAN PERGERAKAN ISLAM
Pergerakan
Islam telah berhasil memperbaiki pemahaman-pemahaman Islam yang
diperburuk oleh zaman jumud atau oleh masa penjajahan dan mengusir
kebudayaan yang pernah menguasai gelanggang yang dikosongkan beberapa
saat lamanya dan memperhambakan akal para cendekiawan umat kita.
Pergerakan
Islam berhasil memulihkan masyarakat muslim rasa keperibadian Islam,
rasa bangga menjadi anggota “Khaira ummatin ukhrijat lin naasi”, (umat
terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia), sehingga tertanamlah dalam
hatinya cita-cita akan lahirlah hari esok yang cemerlang, sesudah
mengalami putus asa yang panjang akibat berbagai kekalahan dan
kejatuhan, kerana pengaruh dari luar dan kezaliman dari dalam.
Pergerakan
telah berhasil melahirkan suatu generasi muslimin dan muslimat yang
patuh dengan ajaran Islam, baik dalam iktiqad, ibadah, fikiran, kelakuan
baik, dakwah dan dalam jihad.
Pergerakan ini juga telah merekrut
generasi masa depan yang patuh dan berdisiplin , yang sentiasa mendukung
dan mencintai dakwahnya, menyatakan kepatuhan pada syariatnya, menolak
kekafiran dan sekularisme.
Pergerakan
Islam juga telah mempunyai kekuatan dalam mewujudkan apa yang
diistilahkan sebagai “kebangkitan Islam” moden, yang meliputi para
cendikiawan, baik lelaki mahupun wanita di seluruh penjuru tanah air
kaum muslimin dan di luar dunia Islam , seperti Eropah, Amerika dan di
Timur Jauh.
PERLU BANYAK KERJA DAN PENGORBANAN
Pergerakan
Islam hendaknya beralih dari kegiatan berbicara kepada kegiatan
bekerja, agar mampu membebaskan dirinya dari penyakit yang hampir
menjadi penyakit umum kaum muslimin, yang selalu menjadi perintang bagi
kita untuk melangkah maju, iaitu banyak menangisi masa lalu dan kurang
kerja untuk masa kini. Kerana tangis kita itu tidak boleh menghidupkan
yang sudah mati dan tidak mampu mengembalikan sesuatu yang sudah hilang.
Dalam menghadapi berbagai penyakit,
ramai di antara kita yang mengeluh tetapi sedikit yang mengubati. Banyak
yang mengutuk kegelapan dan sedikit yang menyalakan lilin.
Ya,
kita terlalu berkeluh-kesah kerana sakit dan menderita, sehingga tidak
ditemukan seorangpun yang tidak mengeluh, lalu apa yang harus menampung
keluhannya itu? Kita semua berkeluh-kesah dan kita sendiri yang menerima
keluhan-keluhan itu.
Pergerakan Islam
dewasa ini perlu keluar dari lingkaran keluh-kesah dan mengumpat pada
zaman lampau ke lapangan kerja, bekerja keras dan terus-menerus bekerja
demi agama Islam, sesuai dengan tuntutan zamannya dan sesuai dengan apa
yang dilakukan orang-orang lain terhadap agama mereka. Bekerja untuk
masa kini, bekerja untuk masa depan, bekerja untuk membangun dan bekerja
untuk memelihara bangunan itu dari tindakan penghancuran musuh.
BEKERJA UNTUK MEMIKAT TOKOH DAN MASYARAKAT
Pergerakan
Islam hendaklah bekerja dengan sungguh-sungguh untuk memikat hati para
tokoh dan masyarakat, untuk menghilangkan tembok pemisah antara
pergerakan dan banyak tokoh intelektual dari satu sudut dan dengan
masyarakat awam disudut lain.
Pergerakan
Islam hendaklah bekerja keras membongkar pagar pemisahan dan
menghancurkan tembok buatan dan mulai bekerja dengan semangat baru untuk
menembus kalbu masyarakat, yang juga merupakan wadah mereka, dari
mereka, kepada mereka dan untuk mereka. Masyarakat kita percaya dengan
fitrah dan sejarahnya, mereka bersama pergerakan Islam dan akan selalu
bersama mengumandang keimanan, seperti yang dapat dilihat dari fakta dan
dengan membaca sejarah.
Pergerakan akan berjaya selagi ia merupakan pergerakan semua kaum muslimin dan bukan hanya pergerakan segelintir umat Islam.
MENYULUH KEBANGKITAN ISLAM
Di antara perkara yang melambatkan kebangkitan Islam :
Menjauhkan
masyarakat dari Islam sebagai tatacara yang mengatur kehidupan, selama
orang-orang yang menjadi objek dakwahnya dan calon anggota pergerakan
kebangkitan merasa sulit dan berat mengikutinya, kerana yang dimudahkan
Allah kepada hamba-Nya dipersulit mereka, bertentangan dengan sabda Nabi
s.a.w. yang menyatakan.
“Sesungguhnya kalian dibangkitkan untuk memudahkan dan tidak untuk menyulitkan”
Generasi
yang merupakan tulang punggung kebangkitan Islam itu disibukkan dengan
masalah-masalah remeh dan kurang berguna dengan mendakwahkan soal-soal
furu’, suka berdebat dan bertengkar dan mengabaikan soal-soal besar yang
menentukan, yang berkaitan erat dengan peradaban Islam, dengan dominasi
umatnya, dengan pembebasan tanah airnya dan dengan pelaksanaan hukum
syariatnya di muka bumi.
Pergerakan Islam
disibukkan dan diadu domba satu sama lain. Seharusnya pergerakannya
diarahkan kepada musuh yang dihadapi bersama, bukan bermusuhan antara
satu dengan yang lain sehingga pada puncaknya mereka saling
mengkafirkan.
Pergerakan telah memberikan
kesempatan kepada penguasa yang sentiasa mengawasi pergerakan Islam,
yang sentiasa dirundung rasa takut atau rasa benci, untuk memukul jatuh
pergerakan Islam dan semua kerja keIslaman.
PANDUAN UTAMA PENYULUH KEBANGKITAN
Kita harus berpindah kepada perkara-perkara penting sebagaimana berikut:
1.Dari soal furu’ kepada soal usul dan universal
2. Dari kerja nafilah (sunnah) kepada kerja fardu
3. Dari hal-hal yang diperselisihkan kepada hal-hal yang disepakati
4. Dari kerja anggota tubuh kepada kerja hati
5. Dari kedua-dua sudut kelebihan dan kekurangan kepada hal-hal yang sedang dan normal
6. Dari sikap mempersulit dan menjauhkan orang kepada sikap mempermudah dan menggembirakan hati
7. Dari sikap jumud dan taklid kepada sikap ijtihad dan renovasi
8. Dari fasa bicara dan debat ke fasa kerja dan memberi
9. Dari masa sentimen tanpa persiapan ke masa ilmiah berencana
10.Dari sikap fanatik terhadap orang-orang yang berbeza pendapat kepada sikap toleransi bersama mereka
11.Dari menggalakkan bekerja kepada menanamkan pengertian.
12.Dari memperhatikan soal-soal kuantiti kepada soal-soal kualiti, terutama dalam bidang pendidikan dan pengkaderan.
13.Dari
melayang-layang ke langit impian turun ke bumi kenyataan (atau daripada
menghulur idealisme lebih baik mengharap yang mungkin dan yang sudah
ada).
14.Dari sikap meninggikan diri atas masyarakat kepada sikap
hidup bermasyarakat (atau dari sikap menuduh dan memusuhi masyarakat
berusaha menjadi tabib masyarakat).
15.Dari sikap yang hanya
merenungi kejayaan masa lampau, kembali pada kenyataan masa kini dan
mempersiapkan zaman yang akan datang.
16.Dari menghanyutkan diri dalam lapangan politik kepada memusatkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
17.Dari
mengobarkan perselisihan yang menimbulkan pertentangan dan pertengkaran
kepada perbezaan yang beragam dan bergotong-royong.
18.Dari mengabaikan masalah kehidupan kepada meningkatkannya dengan motivasi lillahi Ta’ala, sebagai amal ubudiyah.
19. Dari pandangan dan sikap yang regional yang sempit kepada wawasan universal yang luas.
20. Dari sikap ujub terhadap diri sendiri kepada sikap memeriksa diri.
KERJA KEMASYARAKATAN
Seharusnya
pergerakan Islam terjun ke bidang kemasyarakatan demi mengabdikan diri
kepada agama dan umatnya dan jangan sampai kegiatan politik hanya
menghabiskan tenaga dan waktunya.
Lapangan dalam bidang
kemasyarakatan tidak banyak digeluti oleh kaum muslimin, sehingga
lawan-lawannya berhasil menguasai lapangan itu untuk menyebarluaskan
agamanya yang menyimpang di tengah-tengah orang lapar, orang sakit,
orang buta huruf dan di tengah orang-orang terlantar di antara anak-anak
umat kita.
Itulah yang mendorong kami
untuk membentuk suatu “Lembaga Sosial Islam Antarabangsa” yang bekerja
dengan sekuat tenaga untuk memberi makanan bagi yang lapar, memberi
pakaian bagi yang telanjang, memberi ubat bagi yang sakit, pemeliharaan
bagi anak yatim, tempat berteduh bagi yang terlantar, pengajaran dan
pendidikan bagi yang bodoh, kerja bagi para penganggur, latihan
keterampilan bagi yang akan kerja dan berusaha keras dalam mengembangkan
kemasyarakatan Islam dari dalam tubuhnya sendiri.
KERJASAMA LAPISAN MASYARAKAT
Sesungguhnya
di antara penyakit yang menjangkit kita ialah, banyak penonton dan para
penganggur yang hanya berpangku tangan menyaksikan kegiatan pergerakan,
padahal wajib bagi mereka untuk bekerja dengan sekuat-kuatnya di
lapangan masing-masing, seperti yang difirmankan oleh Allah Ta’ala yang
bermaksud:
“Katakanlah, hai kaumku, bekerjalah kamu menurut keadaan kamu masing-masing dan aku juga bekerja” (al-An’am ayat 135)
Maka
hendaklah kita juga mampu menggerakkan kaum muslimin di seluruh dunia,
agar mereka melakukan tugas kewajipannya di bidang masing-masing. Kaum
lelaki, wanita, orang tua, anak-anak, orang kaya dan orang miskin. Yang
penting semuanya bekerja, masing-masing memilih kerja yang sesuai dan
selaras untuk dirinya. Siapa yang mampu membuang duri dari jalan,
hendaklah ia membuangnya. Siapa yang biasa menabur benih di bumi,
hendaklah ia menaburnya.
BAHAGIAN 3 : PENUTUP
Sesungguhnya
kerosakan itu umum dan menyeluruh dan tanggungjawabnya dipikul bersama,
meskipun masing-masing berbeza-beza pendapat.
Kalau
kami mahu berterus terang, kami akan mengatakan, kerosakan itu terdapat
dalam batin kita, dalam diri kita masing-masing, kerana kita terlalu
mencintai kita. Kita masing-masing bertawaf di sekitar zat kita, seperti
penyembah berhala dengan mengelilingi berhalanya, dalam usaha mencuci
bersih diri sendiri dan menunding orang lain. Orang lain selain dari
kita sendiri dipersalahkan sebagai yang bertanggunjawab. Kita melihat
kotoran pada mata orang lain tetapi tidak melihat kayu pada mata kita
sendiri.
Ya, kerosakan itu terdapat pada
diri kita semua. Kaum muslimin dituntutnya untuk bekerja, sedang dia
sendiri tidak, mereka diperintahkan berjihad, dia sendiri duduk, mereka
disuruh menyumbang, sedang dirinya sangat kikir dan mereka dituntut
untuk berkorban, sedang dia sendiri menontoninya.
Penyakitnya ada
dalam diri kita semua, kerana semuanya beriman kepada Allah dan
sekaligus tidak patuh kepada perintahNya. Kita mengaku cinta kepada
Rasulullah s.a.w., tetapi enggan mengikuti ajarannya. Ingin masuk ke
syurga, tetapi tidak menempuh jalan-jalannya dan takut pada api neraka,
namun senang menempuh jalan yang dapat menghantarkan ke neraka. Senang
mengakui dirinya sebagai orang Islam, tetapi enggan bekerja untuk
membela agamanya.
Sungguh berbahagia orang yang telah mulai dengan memperbaiki dirinya sendiri, kemudian mengajak orang lain.
Meletakkan
tangannya dan berpimpingan tangan dengan semua orang yang sealiran,
yang sefahaman dalam berbuat kebaikan, tidak jemu dengan apa yang
dilakukan , tidak putus asa dengan apa yang dihadapi, percaya penuh pada
dirinya, berbahagia dengan agamanya, beriman dengan Rabb-Nya, sentiasa
mengharap bantuan Nya agar memenangkan kaum muslimin.
Adapun hal-hal yang memberi perangsang dan menguatkan harapan kita pada hari depan, antara lain:
1. Sesungguhnya kita ada di pihak al-Haq (kebenaran), yang dengan itu Dia telah menciptakan langit dan bumi.
2.
Sesungguhnya kita ada di pihak fitrah Islam, yang Allah berkenan
menempatkan manusia padanya, yang tiap-tiap hari berbondong-bondong
orang kembali ke pangkuannya, mendapat hidayah sesudah hilang dalam
kesesatan, bertaubat sesudah hanyut dalam maksiat, kembali insaf sesudah
fikiran dan akhlaknya terbius hawa nafsu atau kembali sedar setelah
lama terbuai nyenyak dan kembali bergabung dengan kafilah orang-orang
yang kembali iaitu, bersama rombongan Islam.
3.
Sesungguhnya kita bersama-sama bangsa-bangsa umat Islam, yang Islam
sudah menjadi darah dagingnya, yang tidak mungkin dipisah-pisah dari
kewujudannya, baik mental, spiritual mahupun sosial, yang tidak mungkin
boleh hidup atau boleh mewujudkan dirinya sendiri, melainkan dengan
Islam dan tidak mungkin boleh digerakkan oleh siapapun, seperti yang
digerakkan oleh kalimah Islam.
4.
Sesungguhnya kita bersama dengan kepentingan umat manusia, yang telah
menderita sengsara kerana falsafah hidup manusia dan perundangan bumi.
5.
Dan bersama kita sebelum dan sesudah itu semua pertolongan Allah s.w.t.
yang berjanji akan menolong orang-orang yang menolong Nya dan menjamin
akan memenangkan agama Nya di atas semua agama, meskipun orang-orang
musyrik tidak senang, akan menyempurnakan cahaya Nya, meskipun tipudaya
lawan terus dilanjutkan